Selasa, 27 November 2007

Jaminan Kualiti (Quality Assurance)

Jaminan kualiti merupakan satu sistem formal dalam sesebuah syarikat bagi menguruskan aktiviti kawalan kualiti supaya produk atau servis yang diberikan dapat memenuhi kepuasan pelanggan. Sistem kualiti yang masyhur sekarang ini ialah ISO9001 bagi sistem pengurusan, ISO17025 bagi akreditasi makmal dan yang terbaru ialah ISO17020 yang mempunyai kaitan dengan khidmat UTMr. Terdapat beberapa syarikat UTMr yang telah mendapat pengiktirafan ISO9001 dan ISO17025 di negara kita. Khabarnya ISO17020 telah diamalkan oleh syarikat UTMr di New Zealand. Setelah meneliti semua standad ini penulis merasakan ISO17020 lebih sesuai dengan aktiviti UTMr yang dijalankan di makmal dan lapangan. ISO17025 lebih sesuai kepada makmal seperti pemberi khidmat tentukuran (calibration). Di sini ada elemen ketakpastian (uncertainty) yang lebih sesuai dengan aktiviti tentukuran atau pengukuran yang mementingkan ralat dalam pengukuran iaiatu bagi pengukuran jenis kuantitatif . Bagi kerja-kerja UTMr ralat tidak begitu dititikberatkan dan kebanyakan pemeriksaan atau pengukuran berbentuk kualitatif. Klausa penting dalam ISO17020 ialah;
3-Keperluan pentadbiran
4-Bebas, adil (tidak berpihak) dan berwibawa
5-Kerahsiaan
6-Organisasi dan pengurusan
7-Sistem kualiti
8-Personel
9-Kemudahan dan peralatan
10-Kaedah pemeriksaan
11-Penanganan sampel/item yang diperiksa
12-Rekod
13-Repot dan sijil pemeriksaan
14-Sub-kontrak
15-Aduan dan rayuan
16-Kerjasama

Rabu, 21 November 2007

Persatuan Ujian Tanpa Musnah (MSNT)

Persatuan ini telah didaftarkan dengan sijil bil: 4651/89 (Selangor), ditubuhkan dengan tujuan untuk mengembangkan pengetahuan saintifik, kejuruteraan dan teknikal dalam bidang UTMr melalui pendidikan, penyelidikan dan pengumpulan maklumat bagi kegunaan ahli dan kepentingan orang awam. Ia juga bertujuan untuk mengadakan hubungan dengan organisasi teknikal dan saintifik dan pertukaran maklumat bagi mempromosi kemajuan dan pengiktirafan amalan UTMr.
Ahli lembaga pengarah 2006/08 ialah
Dr. Abd Nassir Ibrahim (Presiden)
Dr. Khazali Hj Mohd Zin (Naib Presiden)
Dr. Abd. Razak Hamzah (Bendahari)
Dr. Mohamad Pauzi Ismail (Setiausaha)
En. Yeo Yan Teng (AJK)
En. Royce Wong Chee Moong (AJK)
En. Johar Juhari (AJK)
En. Zamaluddin Ali (AJK)
Pn. Siti Madiha bt Muhammad Amir (AJK)
En. Huzeir Abdul Halim (AJK)
Ir. Hj. Amir Yahya (AJK)
Dr. Badrul Ahmad (AJK)
Sehingga kini MSNT mempunyai lebih 200 ahli. Sesiapa yang berminat untuk menjadi ahli bolehlah menghubungi pauzi@nuclearmalaysia.gov.my

National Seminar on Materials and Structural integrity

21-22 Nov 2007-seminar ini berlangsung di Hotel Cititel, Kuala Lumpur. InsyaAllah aku akan bentang satu kertas kerja bertajuk ' Non-destructive Testing (NDT) Methods for evaluation structural integrity in concrete construction'. Sesiapa yang berminat dengan kertas ini boleh menghubungi aku di pauzi@nuclearmalaysia.gov.my

Rabu, 14 November 2007

Prinsip asas ujian Ultrasonik

Kaedah akustik adalah kaedah UTMr yang tertua yang digunakan untuk menilai kualiti suatu bahan. Mengetuk sesuatu objek dengan tukul dan kemudiannya mendengar bunyi yang terhasil merupakan kaedah umum untuk mengesan kelompangan, retakan atau delaminasi (Kim 1990).

Ujian Ultrasonik telah menjadi kaedah yang diterima pakai untuk pemeriksaan berbagai jenis produk terutamanya bahan yang dibuat dari logam. Saiz dan kedudukan kecacatan boleh ditentukan dengan mengukur masa perjalanan dan amplitud gelombang ultrasonik yang merambat di dalam bahan yang diuji. Manakala jenis kecacatan dapat ditentukan dengan mengkaji bentuk gelombang yang dipantulkan oleh kecacatan tersebut disamping mengetahui saiz dan kedudukannya.

Rambatan gelombang ultrasonik dalam konkrit dipengaruhi oleh sifat fizikal konkrit tersebut. Secara umum, halaju gelombang berubah dengan perubahan ketumpatan dan modulus elastik sementara amplitud gelombang pula berubah terhadap ketakhomogenan konkrit. Selain dari itu gelombang ultrasonik terpantul atau terserak oleh ketidaksinambungan (seperti retakan, keliangan dan lain-lain) dan juga tetulang yang disebabkan oleh perbezaan impedan akustik (Kim 1990).

Teknik ultrasonik adalah langsung tidak merosakkan bahan yang diperiksa. Pengukuran parameter ultrasonik tidak bergantung kepada dimensi bahan dan pengukuran ini boleh dilakukan berulang kali. Disamping peralatannya yang mudah alih dan sesuai bagi ujian lapangan ia juga tidak membahayakan pengguna seperti pengendalian sinar radioaktif.

Walau bagaimanapun perlu difahami bahawa kaedah ultrasonik seperti juga lain-lain kaedah UTMr, bukan merupakan ujian mutlak, tetapi lebih merupakan ujian perbandingan. Negara-negara seperti Amerika dan Britain telah mempunyai piawai berhubung dengan penggunaan ultrasonik dalam konkrit (ASTM C597 dan BS 1881 Bhg. 203). Malaysia masih lagi dalam tahap draf, manakala Jepun belum lagi mempunyai piawai yang berkaitan tetapi sudah terdapat panduan yang dihasilkan oleh Persatuan Seni Bina Jepun (Terada 1991).

Pemeriksaan tiang konkrit dengan kaedah pembalikan gema
Alat ultrasonik menggunakan kaedah resonan bagi menentukan modulus dinamik bagi sampel makmal
Alat ultrasonik yang paling biasa dipakai di lapangan menggunakan kaedah transmisi gelombang